Processing...

Newsroom

Alif Satar bangga jadi duta emas abjad Alif pertama di dunia

Last updated: 31/03/2024

 

 

CHERAS : Penyanyi dan pelakon, Alif Satar, 33, bersyukur kerana minat terhadap hobi mengumpul emas kemudiannya menghubungkan cabang rezeki baharu buatnya apabila dipilih sebagai duta Grand Bullion Gold Sdn. Bhd. (GB Gold Malaysia).

Menurut Alif,  menerusi pelantikan dan tanggungjawab baharu itu, dia lebih yakin dan teruja untuk memberi kefahaman dan mendidik orang ramai untuk membuat pelaburan emas.

Lebih menarik , kata Alif, permintaannya kepada GB Gold adalah untuk menghasilkan koleksi yang eksklusif  yang diberi nama Alif Goldbar dan Alif 1 Dinar.

“Sebenarnya, saya sudah lama berminat dengan bisnes produk emas. Saya juga merupakan seorang pengumpul emas dan sebelum ini tak pernah ditawarkan oleh mana-mana pihak untuk jadi duta dan sebagainya.

“Saya tahu kelebihan emas dan saya rasa orang lain pun tahu kelebihan bila kita mengumpul. Bila pihak GB Gold menawarkan, saya tidak mahu keluarkan produk biasa dan mahukan yang unik.

“Maka terhasil gold bar dan Alif dinar yang berbentuk huruf Alif yang pertama di Malaysia,”katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran dan pelantikannya  sebagai duta GB Gold Malaysia di Bandar Mahkota Cheras, kelmarin.

Diinspirasikan daripada abjad pertama Arab iaitu ‘Alif’, produk pertama di Malaysia berbentuk ‘Alif’ itu terhasil daripada emas tulen 999.9 di mana Alif Goldbar dihasilkan dengan berat 1 gram manakala Alif 1 Dinar seberat 4.25 gram.

“Ia akan jadi satu koleksi siri yang sangat eksklusif. Kalau sebelum ini, saya mengajak orang ramai untuk membeli banyak produk tapi kali ini saya seru untuk membeli emas. Emas tidak akan rugi,”katanya.

Ditanya berapa gram emas yang sudah dikumpul sejak 10 tahun lalu, pemilik nama Muhammad Alif Mohd Satar memilih untuk merahsiakan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Shahfizzam Moideen berkata, Alif menjadi pilihan utama kerana pelakon tersebut mempunyai imej dan rekod bersih dalam kerjaya seninya menjadikan GB Gold Malaysia berkenan untuk ‘menyuntingnya’ sebagai duta.

“Istimewanya Alif kerana dia selalu membawa idea segar dan baharu malah mengambil kesempatan dirinya yang popular untuk mengajak orang ramai ke arah kebaikan termasuk dari sudut kerohanian.

“Pada masa sama, Alif juga merupakan penyimpan emas tegar dan ia bertepatan dengan kempen GB Gold.

“Jadi Alif Satar bukan sekadar membawa jenama tetapi akan berkongsi pengalaman sepanjang menyimpan emas dan mendidik masyarakat tentang kelebihan dan kepentingan menyimpan emas sebagai alternatif simpanan.

“Sifat ‘happy go lucky’ yang ada pada Alif Satar juga antara faktor yang dicari. GB Gold ingin menukar stigma menyimpan emas sesuatu yang memberi tekanan dan susah kepada ‘lifestyle’ dan sesuatu yang menyeronokkan,”katanya.

Tambah Shahfizzam, GB Gold bukan sekadar premis menjual emas tetapi juga sentiasa mencipta kesedaran di kalangan khalayak terutama di kalangan golongan muda yang positif untuk mengenali emas fizikal dan menjadikan salah satu bentuk pelaburan jangka panjang.

“Kami akan sentiasa membawa aspirasi emas dengan bentuk-bentuk baharu dan di pasaran dengan kelainan dan berbeza daripada rekaan yang sedia ada di pasaran.

Selain lantikan duta, kempen diteruskan dengan rekaan baharu mengikut musim. GB Gold yakin kempen akan mencapai sasaran kerana emas tidak perlu diperkenalkan lagi di kalangan masyarakat namun kami akan terus memberikan pendedahan dan pengetahuan menyimpan emas dengan cara betul.

Misalnya sebelum ini kebanyakannya gemar menyimpan emas perhiasan tetapi kini kita selangkah lebih baik mengajak menyimpan dalam bentuk gold bar dan dinar.

Dalam pada itu, kata Shahfizzam lagi, pihaknya turut menandatangani perjanjian dan mengumumkan penajaan kepada Alif Satar dan The Locos yang akan mengadakan konsert jelajah United Kingdom 2024.

-UTUSAN MALAYSIA-

 
 
More News