WhatsApp-Image-2024-03-06-at-09
Majlis Pengiktirafan dan Penyerahan Sijil Patuh Syariah kepada GB Gold Malaysia berlangsung di Petaling Jaya baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Grand Bullion Gold Sdn. Bhd. (GB Gold Malaysia) menyasarkan jualan emas yang mematuhi konsep patuh syariah merangkumi kedai fizikal dan tawaran jualan dalam talian sebanyak RM100 juta menjelang akhir tahun ini.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shahfizzam Moideen berkata, sasaran itu berdasarkan lebih 10 peratus jualan telah dicapai sehingga kini menerusi tawaran lima kategori yang diperkenalkan syarikat.

 

Ia termasuk struktur insentif dan mekanisme program jana pendapatan, struktur dan mekanisme pembelian emas langsung, struktur dan mekanisme jual kembali emas, struktur dan mekanisme gold billion storage (GBS) dan mekanisme Tiktok shop.

“Sambutan pembelian pelanggan dalam bentuk kepingan dinar yang paling popular diikuti emas jongkong dan emas perhiasan.

“Justeri kami mahu menjadi peneraju syarikat jualan emas di negara ini yang mematuhi konsep patuh syariah secara keseluruhan urus jual beli merangkumi kedai fizikal dan tawaran jualan dalam talian.

“Inisiatif itu diperkenalkan ekoran pelaburan emas kian popular di kalangan masyarakat tanpa batasan peringkat usia yang telah ditawarkan oleh pelbagai pihak sama ada institusi perbankan atau syarikat-syarikat jualan emas di negara ini,” katanya pada Majlis Pengiktirafan dan Penyerahan Sijil Patuh Syariah kepada GB Gold Malaysia di sini baru-baru ini.

Penyerahan tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Eksekutif dan Penasihat Syariah Elzar Shariah Solutions & Advisory (lantikan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia), Dr. Zaharuddin Abd Rahman.

Hadir sama Ketua, Ketua Pegawai Operasi GB Gold Malaysia, Mohd Afiq Ahmad dan Pengurus Besarnya Norhana Osman.

Mengulas lanjut, Shahfizzam menambah, pengiktirafan yang diterima itu sebagai penanda aras  pihaknya yang secara berterusan melaksanakan amalan-amalan pengurusan berkualiti bagi memenuhi semua kriteria dan mematuhi terma dan syarat yang ditetapkan.

“Konsep ini telah melonjakkan prestasi GB Gold kerana mendorong syarikat lebih berdisiplin dan bertanggungjawab dengan produk yang ditawarkan.

WhatsApp-Image-2024-03-06-at-09
Ketua Pegawai Eksekutif GB Gold Malaysia, Shahfizzam Moideen.

“Antara syarat konsep patuh syariah, bekalan emas dalam simpanan mesti bersamaan dengan nilai  setiap pembelian.

“Di pihak pembeli pula akan memperoleh emas tulen 999.9 di samping mereka dapat mengelak daripada membeli emas di atas kertas atau di alam maya yang tidak wujud,” katanya.

Tambahnya lagi, syarikat juga berjaya memperoleh tauliah konsep patuh syariah menerusi aplikasi TikTok yang mendapat sambutan baik di kalangan pembeli setiap kali pihaknya ke udara dalam talian.

“Konsep patuh syariah turut diguna pakai di dua buah cawangan perniagaan yang akan dibuka menjelang hujung tahun ini di utara dan selatan tanah air.

“Dalam tempoh lima tahun dari sekarang, GB Gold akan berada di setiap 14 buah negeri di seluruh negara,” katanya.

Menurutnya, langkah tersebut untuk menyakinkan orang ramai  membeli emas sebagai aset dalam tempoh yang panjang dan melakukan transaksi jual beli tanpa was-was kerana mengikut  hukum syarak.

“Sejak setahun lalu, GB Gold yang turut meledak jualan melalui urus jual beli emas dalam talian menggunakan aplikasi TikTok mendapati orang ramai semakin terbuka membeli emas dengan pelanggan termuda berusia 16 tahun dan fenomena tersebut sewajarnya dikawal dengan kaedah yang betul.

“Merealisasikan hasrat itu, kami melantik  konsultan bertauliah bagi memantau konsep muamalat termasuk akad dan tasharruf antara penjual dan pembeli berdasarkan kerelaan dan kepuasan yang jelas,” – MalaysiaGazette

WhatsApp-Image-2024-03-06-at-09
GB Gold Malaysia turut beroperasi secara fizikal di Seksyen 13, Shah Alam, Selangor.