Grand Bullion Gold Sdn Bhd (GB Gold Malaysia) memperkenalkan inisiatif jual beli emas merangkumi kedai fizikal dan tawaran jualan dalam talian dengan konsep patuh syariah sekaligus berupaya meyakinkan orang ramai membeli aset tanpa keraguan.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shahfizzam Moideen berkata, usaha tersebut berupaya memberi keyakinan orang ramai membeli emas dan melakukan transaksi jual beli mengikut hukum syarak.
“Sejak setahun lalu, GB Gold yang turut meledak jualan melalui urus jual beli emas dalam talian menggunakan aplikasi tiktok mendapati orang ramai semakin terbuka membeli emas dengan pelanggan termuda berusia 16 tahun, fenomena tersebut sewajarnya dikawal dengan kaedah yang betul.
“Merealisasikan hasrat itu, kami melantik konsultan bertauliah bagi memantau konsep muamalat termasuk akad dan tasharruf antara penjual dan pembeli berdasarkan kerelaan dan kepuasan yang jelas,” ujarnya di majlis Pengiktirafan dan Penyerahan Sijil Patuh Syariah di sini baru-baru ini.
GB Gold Malaysia turut menjadi peneraju syarikat jualan emas di negara ini yang mematuhi konsep patuh syariah secara keseluruhan urus jual beli merangkumi kedai fizikal dan tawaran jualan dalam talian.
Penyerahan tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Eksekutif dan Penasihat Syariah Elzar Shariah Solutions & Advisory (lantikan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia) Dr. Zaharuddin Abd Rahman. Hadir sama Ketua, Ketua Pegawai Operasi GB Gold Malaysia, Mohd Afiq Ahmad dan Pengurus Besarnya Norhana Osman.
Shahfizzam menambah, pengiktirafan yang diterima sebagai penanda aras pihaknya yang secara berterusan melaksanakan amalan-amalan pengurusan berkualiti bagi memenuhi semua kriteria dan mematuhi terma dan syarat yang ditetapkan.
“Konsep ini telah melonjakkan prestasi GB Gold kerana mendorong syarikat lebih berdisiplin dan bertanggungjawab dengan produk yang ditawarkan. Antara syarat konsep patuh syariah, bekalan emas dalam simpanan mesti bersamaan dengan nilai setiap pembelian.
“Di pihak pembeli pula akan memperoleh emas tulen 999.9 di samping mereka dapat mengelak daripada membeli emas di atas kertas atau di alam maya yang tidak wujud,” ujarnya.
Buat masa ini, GB Gold katanya menawarkan lima kategori termasuk struktur insentif dan mekanisme program jana pendapatan, struktur dan mekanisme pembelian emas langsung, struktur dan mekanisme jual kembali emas, struktur dan mekanisme gold billion storage (GBS) dan mekanisme tiktok shop.
“Bersandarkan kepada perkembangan tersebut, kami menyasarkan jualan sebanyak RM100 juta menjelang hujung tahun dan kini lebih 10 peratus jualan dicapai. Sambutan pembelian pelanggan dalam bentuk kepingan dinar yang paling popular diikuti emas jongkong dan emas perhiasan,” katanya.
Tambahnya, syarikat juga berjaya memperoleh tauliah konsep patuh syariah menerusi aplikasi tiktok yang mendapat sambutan baik di kalangan pembeli setiap kali pihaknya ke udara dalam talian.
“Sebagai penjual kita tidak boleh mengabaikan aspek jaminan keselamatan pembeli. Misalnya jika mahu mengejar keuntungan, kita boleh merebut peluang dengan mengambil tempahan terlebih dahulu tanpa membeli emas tetapi ia bercanggah dengan syariat Islam. Cara yang betul, jika kita mempunyai lima kilo emas, jualan juga mesti di dalam timbangan yang sama,” ujarnya.
Katanya patuh syariah yang ditekankan bukan sekadar mendapatkan sijil tetapi pihak konsultan berhak untuk melakukan audit terhadap transaksi akaun serta pemeriksaan bekalan emas pada bila-bila masa.
“Konsep yang sama turut dipraktikkan dalam GBS yang turut dikenali sebagai simpanan akaun pelanggan yang kini telah mencecah 1,000 akaun. Bersandarkan kepada perkembangan tersebut, kami menyasarkan menjelang hari raya nanti akan mencapai 10,000 akaun.
“Konsep patuh syariah turut diguna pakai di dua buah cawangan perniagaan yang akan dibuka menjelang hujung tahun ini di utara dan selatan tanah air. Dalam tempoh lima tahun dari sekarang, GB Gold akan berada di setiap 14 buah negeri di seluruh negara,” katanya.
Selain jualan dalam talian di laman web gbgold.my, pihaknya menjalankan perniagaan secara fizikal di Laman Seri Business Park, Seksyen 13, Shah Alam, Selangor.